Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Wednesday 22 February 2012

Gendang Silat Bah. 2

Pada entri kali ini, suka kami kongsikan definasi peralatan gendang silat yang seterusnya iaitu:-

Gendang:-

Jenis-jenis gendang yang mempunyai satu muka seperti kompang dan rebana diakui telah mendahului gendang-gendang yang mempunyai dua muka sepertimana yang terdapat dalam ensemble paluan silat, nobat diraja, Mak Yong, Gendang Keling, Wayang Kulit, Terinai dan sebagainya. Begitu juga dengan gendang dua muka yang terdapat dalam permainan Gamelan yang juga merupakan satu eksternal dari kejadian dahulu.

Sejenis gendang dua muka yang dikenali sebagai Gendang Ibu dan Anak berkembang di negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Perak telah ditakrifkan sebagai Gendang Melayu. Digunakan sebagai Genderang dalam ensemble paluan untuk mengiringgi teater tradisional serta mengiringgi tarian klasik Istana dan rakyat.

Temalangnya diperbuat daripada kayu nangka ataupun jenis kayu yang keras yang lain yang dianggap sesuai. Bentuknya seperti tempayan iaitu ‘barrelshape’ dan tebukan dalaman dilakukan selari dengan bentuk luaran. Ini bagi menjamin mutu suara yang terbaik dan ideal. Pada permukaan besar temalang tersebut telah dirambing dengan belulang lembu manakala permukaan kecilnya dengan belulang kambing.

Proses merambing hendaklah bermula dengan meregang ataupun memasangkan kulit-kulit berkenaan yang masih dalam keadaan lembap pada bingkai rotan yang telah dibentuk mengikut kesesuaian. Dengan ini apabila kering, ianya akan menebat di antara kulit dan bingkai tersebut. Kemudian dipasangkan serentak pada kedua-dua muka gendang tersebut dan dijalin dengan rotan, berbentuk seperti “Y” sebagai bahan penegang, menerusi gelung-gelung yang diperbuat daripada kulit berfungsi sebagai ‘simpai’ iaitu alat tala ataupun ‘immediate tuning device’ bagi gendang.

Dalam proses penalaan bunyi, ‘kemban rotan’ juga dipakai pada badan gendang tersebut. Ini bagi menjamin ketegangannya supaya tidak cepat mengendur. Dalam keadaan yang sama ‘kemban rotan’ juga berfungsi sebagai bahan penghias.

Dalam konteks persembahan Gendang Ibu akan disertai secara berpasangan dengan Gendang Anak untuk memainkan pola-pola paluan yang khusus secara meningkah bagi pembinaan setiap struktur irama mengikut disiplin yang didukunginya seperti ensemble Wayang Kulit, Menora, Makyong dan Silat.

Secara praktis permukaan besar Gendang ibu dapat melahirkan suara asas yang dapat disifatkan sebagai mnemonic ‘doh’ dan pada permukaan kecilnya ialah mnemonic ‘pak’; begitu juga dengan permukaan besar Gendang Anak iaitu mnemonic ‘ting’ dan pada permukaan kecil ialah mnemonic ‘chak’.

Dalam amalan semasa persembahan ianya dipangku diatas riba secara tertib mengikut keselesaan pemainnya dan dipalu dengan tangan pada kedua-dua belah mukanya. Gendang Anak mempunyai ukuran yang lebih kecil sedikit daripada Gendang Ibu dan tebukan dalaman sering dianalogikan sebagai buluh seruas supaya dapat menghasilkan ‘pitch’ yang tinggi.

Bagi pengamal gendang, mereka menghias dengan menggunakan enam (6) ‘simpai’ atau lima dan peranan ‘simpai’ bagi Gendang Melayu merupakan sesuatu yang mutlak bagi proses penalaan bunyi. Ianya juga dianggap sebagai ‘the immediate tuning device’ iaitu secara praktisnya seseorang dapat menala alatnya dengan pantas dalam mencari suara. Berbanding dengan kaedah-kaedah lain yang sering digunakan seperti mengetuk pada bingkainya. Kaedah ini tidak wajar dilakukan oleh seseorang pemain itu sewaktu dalam persembahan. Untuk mengekalkan hayat kulit secara yang berpanjangan ‘simpai’ tadi perlu dilonggarkan apabila selesai satu persembahan.

Perkembangan Gendang Melayu dikatakan berasal dari India. Di Kedah masih terdapat gendang dua muka yang mempunyai persamaan bentuk gendang ‘mridanga’ yang terdapat dalam komuniti India di Malaysia. Ianya pada suatu ketika dahulu telah dianggapkan sebagai Gendang Keling, satu nama korupsi yang tidak wajar diketengahkan dalam kontek semasa. Kini gendang tersebut telah diterima sebagai sebahagian daripada jenis-jenis gendang Melayu.

Pengaruh Timur Tengah telah banyak memberi kesan kepada pembentukan alat-alat gendang di Malaysia. Alat-alat seperti Nekara, Meruas, Gedombak, Kompang, Jidor, Rebana, Dub serta Tar Rodat adalah terhasil daripada perhubungan perdagangan dan penyebaran agama Islam dirantau ini sejak sekian lama dan sekaligus memperkayakan lagi unsur-unsur serta nilai budaya masyarakat setempat.

Alat-alat seperti Gedombak yang terdapat didalam permainan Wayang Kulit di Kelantan mempunyai talian dengan ‘Dombak’ atau ‘Zarb’ di Iran dan ‘Darabuka’ di Iraq. Bagi gendang yang berbingkai (frame drum) seperti Kompang merupakan alat terpenting bagi meraikan majlis keagamaan masyarakat Islam di Timur Tengah. Alat-alat ini dikenali sebagai ‘Daira’ di Iran, ‘Bendir’ di Maghribi’, ‘Tar’ di negara-negara Teluk dan ‘Duff’ di Syria.

Bagi gendang dua muka yang menyerupai ‘Jidur’ dan ‘Beduk’ di Maghribi dikenali sebagai ‘Tabl’ manakala gendang dua muka yang lebih kecil dikenali sebagai ‘Maruas’ atau ‘Manama’ di Bahrain. Gendang ‘Nakara’ seperti yang terdapat di Maghribi, Habsyah dan Sudan; sungguhpun terdapat istilah ‘Tabl’ atau ‘Tabla’ dikatakan berasal dari perkataan Arab yang bermaksud gendang, namun alat Tabla yang terdapat dalam permainan Ghazal di Malaysia berasal dari India. Begitu juga dengan gendang Melayu juga berasal dari India dan mempunyai persamaan bentuk seperti gendang ‘Mridanga’. Suatu ketika dahulu istilah Gendang Keling sering digunakan bagi Gendang Melayu khususnya yang berkembang di Kedah dan di Perlis.

Pengelasan

Klasifikasi alat-alat Muzik Gendang dengan istilah ‘Membranophone’. Membranophone : jenis-jenis alat yang mana sifat serta sumber bunyinya terhasil daripada bahan-bahan kulit yang diregangkan. Contoh alat seperti kumpulan gendang muka satu – Beduk, Rebana Besar, Rebana Kercing, Rebana Medan, Rebana Zikir, Rebana Mek Mulung, Tar Rodat, Kompang, Redap/Rebana Riba, Rebana Jikey, Gedombak, Nakara, Tabla, Baya dan Kemplingan. Kumpulan gendang dua muka – Gendang Ibu, Gendang Anak, Gendang Terinai, Gendang Keling, Geduk, Maruas, Jidur, Dup dan Gendang Gamelan.

( contoh Gendang Silat)

Bersambung....


0 comments:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP